Ada beberapa anggapan, pegangan dan salah sangka tentang puasa dalam kalangan masyarakat. Mereka menganggap batal ataupun kurang pahala beberapa perbuatan tertentu, padahal tiada dalil yang menyokong pendapat mereka. Sebahagian pendapat itu khilaf dan telah disebut oleh beberapa ahli fekah dahulu, tetapi dilihat tidak kukuh untuk dipegang ataupun ada ruang untuk disemak semula.
1. Mandi Masa Puasa
Antaranya, anggapan bahawa mandi ataupun basuh kepala apabila terlalu keletihan mengurangkan pahala puasa. Ada pula yang bertegas semasa puasa mandi selepas asar makruh. Ini tidak disokong oleh riwayat yang menunjukkan Nabi s.a.w mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika berpuasa kerana terlalu panas ataupun dahaga. Dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud di dalam sunannya, Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan:
“Telah berkata sahabat yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”
2. Memasukkan Ke Rongga
Antara anggapan lain ialah menyatakan semasa puasa tidak boleh memasukkan apa-apa benda ke dalam mata, telinga dan mulut, sekalipun bukan makanan dan minuman. Ini menyebabkan mereka yang gatal telinga ataupun hidung menderita sepanjang hari berpuasa. Ia berlawanan dengan sifat Islam yang mudah. Ada yang melarang bercelak kerana bimbang masuk ke dalam rongga. Pegangan ini asalkan berasas riwayat kenyataan Ibn ‘Abbas:
“Membatalkan puasa itu apa yang masuk, bukan apa yang keluar” (riwayat Ibn Abi Syaibah, sahih).Namun, itu merupakan ulasan Ibnu ‘Abbas kepada mereka yang berbekam bagi menunjukkan ia tidak membatalkan puasa. ‘Apa yang masuk’ bermaksud makanan ataupun minuman ataupun yang mempunyai fungsi yang sama seperti makanan dan minuman yang masuk ke dalam jasad. Jika sekadar alatan tentu maka ia tidak termasuk dalam maksud ini. Jika tidak mereka yang memasukkan berus gigi ataupun kayu sugi ke dalam mulut, ataupun berkumur semasa puasa tentu dianggap batal.
Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) dalam Majmu al-Fatwa, setelah menyebut tentang khilaf ulama, beliau menjelaskan puasa merupakan amalan setiap muslim. Jika perbuatan seperti bercelak yang memang diamalkan secara meluas semasa zaman Nabi itu membatalkan puasa, tentu baginda s.a.w akan menerangkannya. Juga tentu para sahabah akan bertanya mengenainya. Namun, apabila tiada hadis sahih tentang hal itu, maka menunjukkan memakai celak tidak membatalkan puasa. Demikian juga tentang mencium wangian, menyapu minyak di badan dan seumpamanya.
Maka menggunakan eye drops yang sedikit dan tidak menyebabkan ia mengalir ke kerongkong dan seterusnya adalah dibolehkan. Demikian juga memakai minyak rambut dan minyak urut sekalipun sifat minyak itu mudah meresap ke dalam kulit.
3. Tidak Mandi Junub
Antara lain ialah menganggap tidak sah puasa mereka yang belum mandi junub sedangkan waktu subuh sudah masuk. Ini berkaitan seseorang yang bersetubuh dengan isterinya, ataupun keluar air mani tetapi belum mandi junub sehingga masuk waktu subuh iaitu waktu berpuasa. Ertinya ketika dia mandi wajib, waktu subuh telah masuk. Ada yang menganggap puasa itu tidak sah. Padahal dalam hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aishah dan Ummu Salamah bahawa Nabi s.a.w pada waktu pagi (subuh) dalam keadaan berjunub sedangkan baginda berpuasa. Baginda berpuasa dan tidak berbuka (disebabkan hal itu)” (Riwayat al-Bukhari).
4. Muntah
Antara lain ada yang menganggap sesiapa yang termuntah maka batal puasa. Sebenarnya, di sana ada perbezaan antara termuntah dan sengaja muntah. Dalam hadis, Nabi s.a.w bersabda:
“Sesiapa yang termuntah tidak wajib qada (ganti puasa). Sesiapa yang sengaja muntah, hendaklah dia qada”. (Riwayat al-Tirmizi, Abu Daud, Ibn Jarud dan Ibn Hibban).Maka sesiapa yang termuntah kerana tidak tahan dengan sesuatu bau ataupun mabuk perjalanan tidak wajib qada kerana puasanya sah. Sesiapa yang memaksa diri untuk muntah maka dia wajib menggantikan puasanya.
5. Imsak
Antara lain menganggap sesiapa yang makan ketika hampir subuh iaitu bukan pada waktu imsak yang difahami oleh sesetengah pihak, maka puasanya tidak sah. Ini kerana mereka menganggap puasa bermula beberapa puluh ataupun belasan minit sebelum subuh. Padahal waktu puasa bermula apabila masuknya waktu subuh. Firman Allah: (maksudnya)
“Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam” (Surah al-Baqarah: 187). Sabda Nabi s.a.w pula: “Makan dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum azan, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
6. Musafir
Antara anggapan lain bahawa seseorang yang bermusafir jika berkemampuan wajib berpuasa, jika tidak dia berdosa. Ini berlainan dengan ayat Allah dalam al-Quran: (maksudnya)
“..dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka dan ganti) pada hari-hari yang lain. Allah mahu kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak mahu kamu menanggung kesukaran” (Surah al-Baqarah: 185).Hamzah bin ‘Amr al-Aslami bertanya Rasulullah s.a.w:
“Wahai Rasulullah! Aku dapati aku mempunyai kemampuan untuk berpuasa ketika musafir, adakah itu satu kesalahan ke atasku? Jawab Nabi s.a.w: “Ia adalah rukhsah (kelonggaran) daripada Allah, sesiapa yang mengambilnya (tidak berpuasa ketia musafir) maka sesuatu yang baik, sesiapa yang suka untuk berpuasa maka tiada salah baginya”. (Riwayat Muslim).
7. Tidak Sengaja
Perbuatan yang tidak sengaja, dipaksa ataupun terlupa seperti makan dan minum tidak membatalkan puasa. Sekalipun seseorang itu telah makan dan minum dengan banyak sekali. Sabda Nabi s.a.w:
“Sesiapa yang lupa sedangkan dia berpuasa, lalu dia makan atau minum, maka sempurnakanlah puasanya. Sesungguhnya Allah yang memberikan dia makan dan minum” (Riwayat al-Bukhari).Demikianlah semua perbuatan yang tidak sengaja ataupun terlupa. Termasuk terkeluar air mani disebabkan mimpi atau terfikir secara yang tidak diusahakan. Jumhur ulama menyatakan tidak batal puasa. Di samping di sana wujudnya pendapat minoriti ulama Ibn Hazm, al-San’ani, as-Syaukani dll yang berpendapat keluar mani walaupun dengan sengaja ia tidak membatalkan puasa sebab tiada dalil mengenai hal itu. Adapun majoriti ulama berpendapat batal.
Apapun, sesuatu perbuatan yang tidak disengajakan tidak membatalkan puasa. Termasuklah tertelan air semasa mandi ataupun hujan ataupun suri rumah yang terbiasa merasa makanan ketika masak lalu memakannya kerana lupa, kesemua itu tidak membatalkan puasa. Di sana ada lagi beberapa anggapan yang perlukan penelitian sebelum diterima sebagai suatu keputusan agama.
Artikel ini dipetik dari Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin. Moga dengan penjelasan permasalan ini dapat meningkatkan kualiti ibadah puasa kita dan seterusnya diberkati oleh Allah SWT.
Beberapa hari lagi kita umat Islam akan menyambut ketibaan bulan Ramadan al-Mubarak. Bulan yang penuh keberkatan, limpahan rahmat dan keampunan dari Allah s.w.t. maka tidak hairanlah apabila hampir tibanya bulan Ramadan Rasul Allah s.a.w. dan para sahabat begitu gembira serta tidak sabar menanti ketibaannya.
Mudah-mudahan kita juga bergembira dan teras rindu untuk menyambut kehadiran bulan yang mulia ini.
Sebelum kita pergi lebih jauh marilah kita melihat apakah yang dikatakan puasa itu?. Puasa merupakan satu rukun daripada rukun Islam yang lima. Puasa bukan sahaja menahan diri daripada tidak makan dan minum disiang hari tatapi hendaklah menepati dan mematuhi segala syarat-syarat dan rukun-rukunnya termasuk perkara-perkara yang membatalkan pahala puasa.
Puasa adalah suatu ibadah yang wajib dilakukan oleh setiap muslim yang mukalaf dan tiada keuzuran syari', puasa dapat membentuk peribadi seseorang itu benar-benar bertakwa kepada Allah dan hidup dengan semangat yang tinggi bagi membela manusia terutama yang kurang bernasib baik dalam membentuk musyarakat dengan penuh sifat kasih sayang dan tolong menolong. Puasa juga mampu membentuk musyarakat yang mulia dan diredhai Allah s.w.t.
Puasa juga adalah merupakan satu pendidikan terhadap jiwa dan mampu mengangkat derjat orang yang mengerjakannya dengan kedudukan yang tinggi dan mulai di sisi Allah. Dengan berpuasa manusia dapat mempelajari satu hikmah iaitu bagaimana untuk memperbaiki sikap atau akhlak daripada sifat suka menurut hawa nafsu seperti hidup tertumpu kepada makan, minum dan memenuhkan perutnya sahaja kepada kehidupan yang sebenar yang dikehendaki oleh Allah s.w.t.
![]() |
| (klik untuk besar) |
Seorang yang menjalani ibadat puasa, apakah rahsia yang tersembunyi didalam dirinya yang dapat menghalang ia daripada makan dan minum, kalaulah tidak kerana keimanannya kepada Allah ?. Apakah benteng yang menghalangnya daripada melakukan maksiat, kalau tidak ada keimanannya kepada Allah? Justeru, keimanan seseorang muslim yang mendalam terhadap Allah itulah yang menjadikan dia patuh kepada segala perintah Allah, setiap yang disuruh dikerjakannya dan apa yang dilarang ditinggalkannya.
Begitu juga, seseorang akan segera bertaubat, menyesal dan kembali kepada Allah sekiranya melakukan sesuatu larangan yang ditegah oleh Allah. Lantaran itulah keimanan menjadikan kita penuh ikhlas dan suci hati mengerjakan ibadah puasa yang difardhukan. Puasa juga membersihkan jiwa daripada terlampau mengejar dunia dan bermati-matian bertungkus lumus mencari keseronokan hidup.
Dengan ini, perasaan cintakan kebendaan tidak berjaya mencengkam ke atas perjalanan hidup manusia sehingga terciptalah satu corak kehidupan yang dipenuhi dengan berbagai kelebihan dan keperibadian yang tinggi, pelbagai hikmat dan fadhilat dapat diperolehi dari berpuasa, antara fadhilat-fadhilat yang terdapat dalam ibadat puasa telah ditegaskan oleh Allah s.w.t. didalam surah al-Ankabut ayat 58
Yang bermaksud : " Dan orang-orang yang beriman serta beramal Soleh, kami akan tempatkan mereka dalam mahligai-mahligai di Syurga yang mengalir dibawahnya beberapa sungai, demikianlah balasan yang sebaik-baiknya bagi orang-orang yang beramal soleh ".
Dan Hadis daripada Rasulullah s.a.w. yang berbunyi :
"الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ وَالْجُمُعَةُ إِلَى الْجُمُعَةِ وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانِ مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ."
Maksudnya : " Solat lima waktu yang didirikan satu Jumaat ke Jumaat yang berikutnya dan satu Ramadan kepada Ramadan yang berikutnya maka akan menghapuskan dosa-dosa antara keduanya selama mana dijauhi dosa-dosa besar ". ( H.R. Muslim )
Dalam menjalani ibadah puasa, kita akan dapat merasai hikmah yang indah dan faedah yang besar seterusnya kita akan bersyukur kepada Allah yang memfardukan puasa ke atas kaum muslimim. Dengan kita mentaati segala syarat-syaratnya dan menunaikannya dengan sebaik-baik yang dikehendaki, akan jadilah kita seorang muslim yang bertakwa kepada Allah sepertimana Sabda Rasulullah s.a.w. :
"اَلصِّيَامُ جُنَّةٌ مَالَمْ يَخْرِقْهَا بِكَذِبٍ اَوْ بِنَمِيْمَةٍ."
Maksudnya : " Puasa itu adalah perisai selama ia tidak dirosakkan dengan sebab berbohong atau mengumpat ".
Dan dalam Hadis yang lain Nabi s.a.w. bersabda :
"لَيْسَ الصِّيَامُ مِنَ الأَكْلِ وَالشُّرْبِ إِنَّمَا الصِّيَامُ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفْثِ."
Bermaksud : " Bukanlah berpuasa itu menahan diri daripada makan dan minum sahaja, akan tatapi berpuasa itu juga menahan diri daripada berkata-kata dengan perkataan-perlataan yang kotor dan kata-kata kesat ".
Di sini jelaslah kepada kita bahawa puasa itu merupakan satu perisai yang akan melindungi dari kehancuran jiwa, kerosakan perjalanan hidup, melindungi diri dari terjerumus ke dalam golongan manusia yang tidak memiliki sifat sabar, tolong menolong dan simpati di antara satu sama lain, puasa juga akan menjadi perisai memberikan keteguhan hati dalam bertakwa kepada Allah.
Kebanyakan kita telah mengetahui bahawa mengikut ilmu Psikologi setiap orang yang dilahirkan ke alam dunia ini mempunyai beberapa kehendak dan naluri. Justeru, naluri-naluri tersebut perlukan kepada bimbingan dan didikan supaya ia menjadi subur dan berkembang mengikut kehendak yang ditetapkan oleh syariat Islam. Dalam perkara seperti ini langkah yang paling berkesan ialah dengan berpuasa.
Dimana dengan berpuasa mengajar manusia supaya makan sekadar yang patut sahaja dan menahan nafsu dari segala keinginan yang bertentangan dengan syariat agama. Selain dari itu seseorang yang berpuasa boleh mencapai puasa yang istimewa dengan enam syarat. Maka sempena kita akan menyambut Ramadan beberapa hari lagi, marilah kita berazam melaksanakannya dengan persediaan berikut :
1. Hendaklah menjaga mata daripada memandang perkara-perkara yang dicela oleh agama yang mana akan melalaikan hati serta jauh dari mengingati Allah.
2. Hendaklah memelihara lidah dari berbohong, bercakap dusta, bermusuh-musuhan dan membangga-bangga diri.
3. Hendaklah menjaga telinga dari mendengar perkara-perkara yang tidak baik dan haram, kerana Allah menyamakan mendengar perkara yang haram itu seperti memakan yang haram.
4. Menghindarkan anggota badan yang lain dari berbuat dosa dan perkara-perkara yang dilarang.
5. Jangan makan terlalu banyak ketika berbuka sampai penuh perutnya.
Hendaklah hati kita itu merasa goncang antara harap dan cemas setelah selesai berbuka sebab kita tidak tahu apakah puasa kita itu diterima oleh Allah atau ditolak.
Oleh yang demikian marilah kita meraikan bulan puasa yang mulia yang bakal tiba dengan penuh perasaan gembira dan marilah kita gunakan peluang keemasan yang diberi Allah untuk mengerjakan amal kebajikan dan menjauhkan segala amalan yang dimurkai Allah.
Hanya orang yang berpuasa sahajalah akan meresap ke dalam jiwanya sifat-sifat yang luhur dan bersikap sederhana dalam segala tindak tanduk serta tidak melampaui batas. Orang yang berjaya dididik oleh puasa akan bertambah rajin dan berperibadi mulia, sehat, berdisiplin, cekap lagi beramanah, bertakwa kepada Allah suka berjuang untuk agama, musyarakat dan negara.
Maksudnya : "( Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah ) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan antara yang benar dan salah. Olah itu, setiap yang diantara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu. Dan sesiapa yang sakit atau musafir maka bolehkah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dengan ketetapan yang demikian itu Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa sebulan Ramadan dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuknya dan supaya kamu bersyukur"
( Surah al-Baqarah ayat : 185 )
Ada satu doa yang pendek tetapi sangat besar manfaatnya sekiranya diamalkan dalam kehidupan seharian kita. Doa yang dimaksudkan seperti sabda Rasulullah s.a.w. seperti berikut;
Keberuntungan beramal dengan doa ini
1. Terhindar Daripada Bahaya
Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din menamakan doa ini sebagai ”Ayat Pengerak” kerana dengan membaca doa ini boleh mengerakkan hati kita untuk meneruskan atau tidak bila hendak melakukan sesuatu kerja-kerja yang berbahaya. Tuan Guru memberikan petua bagaimana untuk beramal dengan doa ini seperti berikut;
Bila hendak memulakan perjalanan samaada perjalanan yang dekat ataupun jauh, mengembara ke tempat yang telah biasa ataupun yang belum pernah dikunjungi dan sebagainya atau untuk memulakan sesuatu pekerjaan yang mungkin biasa atau berisiko seperti masuk hutan untuk berburu, memancing, menyembelih binatang, bekerja di tempat pembinaan, dan seumpamanya, maka sebelum itu bacalah doa ini sebanyak tujuh kali. Insya’Allah, Allah s.w.t akan melindungi kita daripada segala bentuk kemudaratan, kejahatan dan bahaya yang mungkin ada di sekeliling kita.
Jika bacaan tersekat-sekat atau terlupa atau ketika sedang membaca ada gangguan seperti gangguan telepon berdering, gangguan daripada anak-anak, gangguan daripada rakan-rakan yang menyapa dan sebagainya yang menyebabkan kosentrasi bacaan terganggu, maka berehatlah dahulu. Jangan diteruskan perjalanan atau pekerjaan tersebut. Setelah berehat beberapa ketika, baca sekali lagi sehingga tujuh kali bacaan. Jika sekiranya bacaan tujuh kali itu lancar baru teruskan perjalanan atau pekerjaan tersebut. Jika diteruskan juga perjalanan atau pekerjaan sedangkan bacaannya tidak lancar, mengikut pengalaman Tuan Guru, kita boleh terkena dengan kemudaratan yang mungkin ada dihadapan kita.
Perlu diingatkan disini bahawa, insya’Allah kita boleh terlepas daripada kemudaratan yang dinamakan Qada’ Muaalaq iaitu ketentuan Allah yang boleh berubah dengan kita berusaha melalui berdoa kepada-Nya. Bagaimanapun jika ianya Qada’ Mubram iaitu ketentuan Allah yang tidak boleh berubah seperti mati maka kalau ajal telah tiba kita membaca doa ini seribu kali sekali pun pasti kita akan mati.
2. Terhindar Daripada Kemudaratan Makanan
Makanan dan minuman yang masuk ketubuh badan kita sebahagiannya mengandungi bahan kimia yang beracun. Racun tersebut tidak memberi kesan untuk jangkamasa pendek tetapi terbukti sebahagiannya memudaratkan tubuh badan untuk jangkamasa panjang. Penyakit yang begitu sinonim dewasa ini dalam masyarakat kita seperti kanser, diabetes, dan sebagainya adalah berpunca daripada makanan dan juga minuman. Untuk mengelakkan makanan yang kita makan membawa mudarat kepada tubuh badan adalah disarankan agar mengamalkan doa ini sekurang-kurangnya tiga kali sebelum menjamah apa sahaja makanan dan minuman. Insya’Allah dengan keberkatan membaca doa ini semua makanan dan minuman yang halal, yang dimakan dan diminum tidak memudaratkan tubuh badan kita.
3. Terhindar Daripada Sihir
Perbuatan belajar dan mengamalkan ilmu sihir hukumnya adalah syirik dan mereka yang syirik akan mendapat balasan laknat Allah s.w.t. dan mereka akan ditempatkan di dalam neraka selama-lamanya melainkan jika sempat bertaubat sebelum mati.
Kesan perbuatan sihir boleh terkena kepada sesiapa sahaja dengan izin Allah s.w.t. Ada sihir untuk tujuan kecantikan seperti memakai susuk dan kebanyakan amalan sihir adalah untuk tujuan khianat yang boleh memudaratkan seseorang dan sesetengahnya boleh membawa maut. Ada perbuatan sihir yang sememangnya ditujukan kepada seseorang kerana dorongan hasad dengki, dan ada juga yang terkena sihir dengan tidak disengajakan seperti secara tidak sengaja termakan makanan dan minuman yang mengandungi santau.
Pengalaman penulis berhenti makan dengan seorang sahabat di sebuah gerai makan. Gerai tersebut terletak di tepi jalanraya. Ketika hendak menjamah makanan, tiba-tiba pinggan kaca yang berisi nasi terbelah dua. Dalam peristiwa yang lain, sahabat penulis itu menceritakan dia pernah minum di sebuah restoran dimana gelas ditangannya pecah sebelum sempat sampai ke mulutnya. Kedua-dua kejadian ini berlaku kerana makanan dan minuman tersebut ada mengandungi sihir santau. Dia terhindar daripada mudarat sihir dengan berkat beramal dengan doa ini setiap kali sebelum menjamah makanan dan minuman.
Dalam hal yang lain pula, ada juga sihir digunakan untuk tujuan melariskan jualan makanan. Unsur-unsur bahan sihir tertentu dimasukkan ke dalam makanan yang menyebabkan sesiapa yang menjamah makanan tersebut akan merasakan masakan tersebut sungguh sedap. Dengan mengamalkan doa ini insyaAllah kita hanya akan merasa yg asal tanpa dipengaruhi faktor lain.
4. Terhindar Daripada Gangguan Makhluk Halus
Apabila kita pergi ke sesuatu tempat yang pada kebiasaannya tempat tersebut makhluk halus berkeliaran atau tinggal seperti di tepi tasek, di dalam hutan, di bangunan yang telah lama di tinggalkan dan sebagainya, maka kita terdedah kepada gangguan makhluk ini. Namun begitu jika kita beramal dengan doa ini insya’Allah mereka tidak berjaya untuk mengusik, manakut-nakutkan dan memudaratkan kita.
Satu perkara yang penting juga, apabila kita pulang ke rumah dari tempat yang disebutkan di atas, kadang kala makhluk itu akan mengekori kita dan masuk ke dalam rumah kita tanpa kita sedari. Jika kita mempunyai anak-anak kecil mereka mudah diganggu oleh makhluk ini, akibatnya anak kecil kita menangis tidak henti-henti. Untuk mengelakkan mereka masuk ke rumah kita, bacalah doa ini tiga kali kemudian ludah ke sebelah kiri sebelum kita masuk ke dalam rumah.
Di dalam hadis yang tersebut di atas, Rasulullah s.a.w. mengajarkan supaya membaca doa ini tiga kali, dengan itu mungkin kurang berkesan jika kita membacanya kurang daripada tiga.
Semoga artikel pendek ini memberi manfaat kepada yang membaca dan mengamalkannya, insya’Allah.
Darussyifa
Al-quran tidak terbakar dalam kebakaran sebuah van yang hangus dijilat api. Sebarkan kepada sesama muslim moga menambahkan taqwa kita kepada Allah.




















